TAMPARULI: Seorang lelaki cedera parah selepas lori 10 tan yang membawa muatan minyak masak dipandunya terbabas dan terbalik di Kampung Minangkop, Jalan Tamparuli-Ranau tengah hari Sabtu.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Kurong Ak Beki berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebelum sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian beserta dua jentera.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.46 tengah hari dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan yang terbabas lalu terbalik di bahu jalan.
“Mangsa lelaki didapati mengalami cedera parah dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Kurong berkata pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak di atas jalan raya menggunakan hose reel bagi memastikan keadaan lokasi selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Operasi terkawal pada jam 12.57 tengah hari dan tamat sepenuhnya pada jam 1.10 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.
“Manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.