PERJALANAN hidup seorang ibu tunggal membuktikan bahawa minat dalam seni kraf menggunakan tanah liat atau lebih dikenali sebagai ‘Miniature Clay’ mampu membuka ruang baharu dalam menjana pendapatan dan membina kehidupan yang lebih stabil.
Zulfa Sholeha Junan, 36, yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik, memulakan langkah dalam bidang kraf menggunakan tanah liat polimer (polymer clay) sebagai satu usaha membina kehidupan selepas kehilangan suami pada 2016.
Katanya, pengalaman hidup memberi dorongan untuk mencari sumber pendapatan yang boleh dilakukan dari rumah tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap keluarga.
Kini, hasil kraftangan yang dihasilkan mampu menampung keperluan harian dan menjadi sumber rezeki utama tanpa perlu keluar bekerja seperti sebelum ini.
Minat Zulfa terhadap kraf menggunakan tanah liat polimer ini bermula pada tahun 2023 selepas beliau menonton satu video berkaitan kraftangan ini di media sosial.
Katanya, rasa tertarik dengan kehalusan hasil karya dalam video tersebut mendorong beliau untuk mencuba sendiri walaupun tanpa pengalaman terdahulu dalam bidang berkenaan.
Advertisement

Sejak detik itu, dia mula mencari maklumat serta mempelajari teknik pembuatan tanah liat polimer melalui rujukan di media sosial.
Sebelum terlibat sepenuhnya dalam bidang ini, Zulfa pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan sudah terbiasa mencari pendapatan sampingan melalui pelbagai hasil seni lain.
Menurutnya, minat dalam bidang seni sebenarnya telah lama wujud dan sering menjadi pilihan untuk menambah pendapatan walaupun ketika masih bekerja.
Zulfa menjelaskan bahawa inspirasi awal datang daripada video yang dihasilkan oleh penggiat seni tanah liat polimer lain yang memberi idea untuk menghasilkan karya sendiri.
Kesungguhan untuk belajar secara sendiri menjadi asas kepada perkembangan kemahirannya dalam bidang ini.
Minat terhadap seni semakin mendalam selepas dewasa apabila dia menjadikan aktiviti berkarya sebagai satu bentuk terapi untuk mengurangkan kesedihan selepas pemergian suami.
Katanya, proses menghasilkan kraf ini bukan sahaja memberi ketenangan emosi malah membantu beliau menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih positif dalam kehidupan.
“Kenangan pertama menghasilkan kraf mini menggunakan tanah liat polimer ini bermula dengan membuat replika makanan kerana ia lebih mudah dihasilkan, khususnya bagi saya sebagai seorang pemula.
“Saya memilih miniature makanan sebagai latihan awal sebelum beralih kepada projek yang lebih kompleks,” katanya, sambil mengakui bahawa cabaran terbesar pada peringkat awal ialah mempelajari teknik pembuatan dari peringkat asas tanpa menghadiri kelas atau kursus formal.
Menurutnya, semua kemahiran diperoleh melalui rujukan di media sosial yang memerlukan kesabaran serta usaha berterusan.
Zulfa berkata proses belajar secara sendiri mengambil masa yang panjang selain memerlukan kos bagi mendapatkan bahan serta peralatan yang sesuai.
Walaupun berdepan keletihan ketika menyiapkan tempahan, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti kerana merasakan kepuasan setiap kali melihat hasil karya siap.
Katanya, perasaan seronok ketika berkarya menjadi pendorong utama untuk terus bertahan dalam bidang ini.
Jelasnya, pengurusan masa antara keluarga dan perniagaan pada awalnya menjadi satu cabaran kerana kerja kraf memerlukan tempoh masa yang panjang.
Bagaimanapun, pengalaman membantu Zulfa menyusun jadual dengan lebih baik terutamanya dengan memberi tumpuan kepada tempahan yang mempunyai permintaan tinggi dan paling diminati.
Menurutnya, keluarga merupakan sumber sokongan paling kuat yang sentiasa memberi semangat sepanjang perjalanan dalam bidang ini.
Zulfa merasakan sokongan ahli keluarga menjadi tulang belakang yang membolehkannya terus bertahan sehingga hari ini.
Bercerita mengenai proses pembuatan tempahan kraf tanah liat, Zulfa menjelaskan bahawa tempoh menyiapkan satu tempahan bergantung kepada tahap kesukaran projek yang diterima.
Bagi projek yang mudah, dia mampu menyiapkannya dalam tempoh kurang daripada satu jam. Namun bagi projek yang lebih kompleks, masa yang diambil boleh mencecah antara dua hingga tiga hari dan dalam beberapa keadaan sehingga seminggu.
“Antara tempahan paling mencabar ialah menghasilkan miniature jubah konvokesyen serta bouquet bunga yang memerlukan ketelitian tinggi,” jelasnya.
Menurutnya, idea reka bentuk kebanyakannya diperoleh daripada hasil karya penggiat lain sebelum diolah mengikut kreativiti sendiri.
Katanya, kreativiti memainkan peranan penting untuk memastikan setiap projek yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri.
“Setiap kali melihat hasil akhir siap, saya merasakan kepuasan yang sukar digambarkan kerana segala penat lelah sepanjang proses menghasilkan kraf berkenaan terasa berbaloi.
“Sepanjang terlibat dalam pembuatan kraf ini, saya juga ada menerima tempahan yang menyentuh hati apabila pelanggan sanggup menunggu sehingga setahun untuk mendapatkan hasil karya yang diinginkan,” katanya.
Menurutnya, di sebalik setiap tempahan terdapat kisah tersendiri yang memberi makna mendalam kepada pelanggan.
Antara tempahan paling bermakna baginya ialah miniature uniform celoreng seperti Tentera Darat Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Zulfa berkata video berkaitan tempahan tersebut pernah menerima tontonan sehingga jutaan kali dan menjadi antara faktor peningkatan permintaan terhadap produk dihasilkannya.
Zulfa berkata, maklum balas positif daripada pelanggan serta tempahan berulang memberi keyakinan untuk terus memperbaiki mutu kerja.
Walaupun terdapat maklum balas yang kurang memuaskan, dia menjadikannya sebagai panduan untuk meningkatkan kualiti hasil karya pada masa hadapan.
Kebanyakan tempahan yang diterima melibatkan kenangan istimewa seperti persaraan rakan sekerja, ulang tahun perkahwinan serta sambutan hari lahir.
Berkongsi pengalaman dalam bidang ini, Zulfa berkata bidang ini banyak mengajarnya untuk lebih bersabar dan memberi fokus kepada pembangunan diri.
Dari segi ekonomi, Zulfa bersyukur kerana pendapatan yang diperoleh kini memberi ketenangan berbanding ketika bekerja sebelum ini.
Sepanjang perjalanan dalam bidang ini, dia mempelajari nilai kesabaran dalam berurusan dengan pelanggan.
Sebagai pencipta kandungan di media sosial, dia turut belajar mengawal emosi ketika menerima pelbagai komen daripada pengguna.
Berkongsi misi dan visi masa depan dalam bidang ini, Zulfa menyimpan impian untuk memiliki sebuah studio yang selesa dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan kraf.
Dia berharap studio tersebut dapat menjadi ruang khas untuk menghasilkan karya dengan lebih teratur dan selesa.
“Saya turut menyimpan hasrat untuk berkongsi ilmu dengan orang lain pada masa hadapan. Walaupun begitu, kekangan masa serta tanggungjawab terhadap tempahan sedia ada menyebabkan rancangan tersebut masih belum dapat saya laksanakan buat masa ini,” jelasnya.
Sebagai nasihat kepada individu yang ingin menceburi bidang kreatif, beliau menekankan kepentingan untuk tidak mudah berputus asa.
Katanya, proses menghasilkan karya yang baik memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi.
Zulfa turut berkongsi bahawa dirinya mengambil masa bertahun-tahun sebelum hasil kerja mula dikenali oleh ramai pihak.
Tambahnya, individu yang berminat dalam bidang seni perlu memberi tumpuan kepada perkembangan diri sendiri tanpa membandingkan hasil kerja dengan orang lain.
“Perbandingan yang lebih baik adalah melihat perubahan hasil kerja sendiri dari masa ke masa,” nasihatnya.
Menurut Zulfa, antara kraf tanah liat polimer yang dia hasilkan pada permulaan dahulu melibatkan replika pakaian uniform serta makanan yang menjadi titik permulaan dalam perjalanan seni beliau masih disimpan sebagai kenangan untuk mengingatkan proses pembelajaran yang dilalui.
Zulfa berpendapat bahawa proses menghasilkan kraf inj dari awal hingga siap memberi ketenangan kepada penonton yang menyaksikannya.
Berkongsi detik paling bermakna sepanjang perjalanannya sebagai pembuat kraf tanah liat polimer ialah apabila hasil karyanya bukan sahaja dihargai pelanggan, malah menjadi inspirasi kepada orang lain untuk mencuba bidang seni tersebut.
Pengalaman tersebut memberi keyakinan bahawa usaha yang dilakukan mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat yang menghargai nilai seni kreatif.