KUALA PENYU: Lebih 3,000 pengunjung hadir menyaksikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu berlangsung baru-baru ini.
Antara pengisian yang dinantikan pengunjung adalah pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) yang bakal membawa mewakili daerah itu ke Peringkat Negeri Sabah pada 31 Mei ini.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu Datuk Limus Jury merangkap Pembantu Kerja Raya dan Utiliti berkata Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi simbol kesyukuran atas hasil tuaian tetapi turut berperanan memperkukuh keharmonian serta memelihara warisan budaya masyarakat pelbagai kaum di wilayah ini.
“Sambutan itu juga menjadi platform penting untuk menyatukan masyarakat selain menghidupkan tradisi dan adat resam diwarisi turun-temurun yang pada masa sama turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat dengan peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk menerusi jualan dan pameran.
“Selain itu pelbagai acara menarik turut diadakan termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional dan pameran produk tempatan serta agensi kerajaan yang mendapat sambutan penduduk sekitar,” katanya.
Acara telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Advertisement

Dalam pada itu Limus menekankan bahawa sambutan itu juga menyerlahkan peranan rakyat Sabah dalam memperkukuh kekuatan negeri menerusi kerjasama lintas kaum, politik dan sektor profesional.
Menurutnya tema Kaamatan tahun ini ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ bukan hanya slogan tetapi satu panggilan untuk semua rakyat bersatu membangun wilayah ini bersama demi kesejahteraan seluruh rakyat.