TAWAU: Seorang juragan tempatan berumur 29 tahun yang disyaki menjadi ‘runner minyak’ ditahan selepas botnya dipintas pasukan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau di perairan Pulau Sebatik, di sini, Isnin.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata penahanan itu dibuat susulan pemeriksaan yang mendapati suspek membawa minyak paket bersubsidi dan bahan bakar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot kargo yang dikemudikan suspek membawa kepada penemuan 14 kotak minyak paket dan enam gelen bahan bakar yang dianggarkan berjumlah 120 liter,” katanya kepada media di sini, malam Isnin.
Ariffin berkata modus operandi penyeludupan dalam kuantiti kecil barangan bersubsidi dan kawalan bagi kegunaan penduduk tempatan ke negara jiran dipercayai merupakan kegiatan berulang antara Tanah Besar Tawau dan Sebatik.
Menurutnya, kejayaan itu hasil maklumat risikan sebelum bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris berjaya mengesan serta memintas bot mencurigakan terbabit.
“Bot kargo itu dipintas pada kedudukan 1.5 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning, Sebatik kira-kira jam 12.40 tengah hari dan pemeriksaan lanjut mendapati juragan tidak berdaftar dalam lesen bot yang digunakan,” katanya.
Beliau berkata penahanan suspek serta rampasan bot kargo bersama muatannya yang dianggarkan bernilai RM43,000 dilakukan kerana disyaki melanggar undang-undang berkaitan kawalan bekalan dan perkapalan tempatan.
Juragan, bot dan muatan kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
“Operasi penguatkuasaan di perairan Tawau yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyeludupan akan terus diperkukuh selain memastikan setiap pelanggaran undang-undang ditangani tanpa kompromi.
“Kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut supaya menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan NG999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.