Kota Kinabalu: Seorang pengurus kedai berusia 34 tahun didenda RM3,000 atau penjara 30 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menjual produk mengandungi racun.
Hui Jun Seng mengaku bersalah di hadapan Hakim Zaini Fishir pada Rabu.
Hui didapati menjual satu kotak berlabel “Hovasc 10mg” mengandungi 10 tablet putih yang didapati mengandungi Amlodipine, iaitu bahan racun yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952.
Mengikut pertuduhan, Hui menjual produk itu secara runcit kepada seorang lelaki sebagai ubat tanpa preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar kira-kira jam 12 tengah hari, 14 Feb 2024 di Public Chemist (Sabah) Sdn Bhd (City Pharmacy) di Jalan Pantai, di sini.
Hui didakwa mengikut Seksyen 21(1)(c) Akta Racun 1952 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13(b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2), yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Semasa rayuan, Hui yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi Lin Lay Peng memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan.
Dalam kes lain, seorang pembantu kedai berusia 42 tahun diperintahkan membayar denda keseluruhan RM1,000 kerana menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tanpa notifikasi.
Noraizan Ismail mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didenda RM500 atau penjara 15 hari kerana menjual dua produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kira-kira jam 2.05 petang, 27 Sept 2024 di Lisa Queen Empire, KK Taipan, Jalan Tuaran, Inanam.
Produk terbabit ialah sebotol Maajun Bebeh dan sebotol Herba King Pil Jamu.
Bagi pertuduhan kedua, Noraizan didenda RM500 atau penjara 15 hari kerana menjual kosmetik tanpa notifikasi, iaitu sabun Bird Nest Collagen di lokasi dan waktu sama.
Dalam rayuan, Noraizan memohon denda minimum dengan alasan dia menanggung empat anak dan tidak tahu mengenai kesalahan itu kerana tidak dimaklumkan oleh majikannya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi Mohamed Aidan Russli.