Kota Kinabalu: Dua penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan awal pagi di Jalan UMS berhampiran Mini Putrajaya di sini, Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.40 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun serta sebuah motosikal Yamaha Y15 yang dinaiki dua individu.
“Kereta tersebut dalam perjalanan dari Sepanggar menuju ke Alam Mesra dan telah membuat pusingan-U di lampu isyarat Mini Putrajaya sebelum meneruskan perjalanan di lorong tengah.
“Bagaimanapun, motosikal yang datang dari arah sama dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke tengah jalan manakala pembonceng terjatuh di bahu kiri jalan.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.
Identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemukan dan usaha mengesan waris sedang dijalankan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis memaklumkan kedua-dua kenderaan terlibat dibawa untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan.
Penunggang motosikal juga diingatkan agar tidak melakukan aksi berbahaya atau menunggang secara berkumpulan dengan laju, yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.