TAWAU: Seorang guru pelatih wanita berumur 25 tahun meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandunya dilaporkan terbabas sendiri di Batu 11 Jalan Apas berhampiran Bandar Sri Indah (BSI), di sini, pada Jumaat.
Amierah Aqeelah Arbin, seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dijadual menjalani latihan praktikum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung Tawau selama tiga bulan dari 2 Mac sehingga 12 Jun.
Advertisement
_E.jpg)
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Penolong Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 12.26 tengah hari, sebelum sepasukan bomba yang digerakkan ke lokasi kejadian tiba kira-kira 20 minit kemudian.
“Seramai enam anggota diketuai Pegawai Kanan Bomba I Zougarana Konin bergegas ke lokasi kejadian,” katanya, menambah empat petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga anggota polis turut hadir.
Jemishin berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan itu didapati membabitkan sebuah Perodua Kenari yang dipandu seorang wanita, yang sudahpun dikeluarkan lebih awal oleh pihak KKM.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan oleh pihak KKM bertugas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Advertisement

“Pasukan kita juga hanya membuat pemantauan di lokasi dan memastikan tidak ada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.22 petang,” katanya.
Daily Express difahamkan, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di BSI selepas balik dari mengajar di SMK Balung sebelum nahas tersebut.