Kota Kinabalu: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kini sedang menjalankan dua kajian berkaitan perkhidmatan kereta api negeri, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick
(gambar).
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri berkata kajian terbabit merangkumi semakan kadar tambang perkhidmatan kereta api.
Advertisement
_E.jpg)
Beliau berkata kajian itu turut meliputi kebolehlaksanaan laluan baharu dari Putatan ke Kota Kinabalu yang akan dilanjutkan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan sehingga ke Pelabuhan Sepanggar.
“Kajian semakan tambang kini telah mencapai 90 peratus siap dan akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Kementerian sebelum dibawa ke Kabinet Negeri untuk pertimbangan lanjut.
“Saya memutuskan untuk menunggu sehingga kajian ini siap sepenuhnya, khususnya semakan tambang yang hampir selesai, sebelum membentangkannya kepada Kementerian dan seterusnya kepada Kabinet Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi JKNS 2026 pada Selasa.
Ewon berkata kajian kebolehlaksanaan bagi laluan Putatan-KKIP-Sepanggar dijangka mengambil masa 12 bulan dan merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memperluas rangkaian kereta api di negeri ini.
Advertisement

Dalam masa sama, beliau berkata JKNS turut menyumbang input kepada kajian kebolehlaksanaan projek Kereta Api Trans Borneo yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau menambah kementeriannya juga akan memulakan kajian mengenai Pelan Induk Pengangkutan Lestari Sabah pada tahun ini dengan penglibatan JKNS dalam kedua-dua jawatankuasa pemandu dan teknikal.