LAHAD DATU: Dua wanita terbunuh dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah Proton Saga, Perodua Alza, lori, motosikal dan sebuah jengkaut di KM14 Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, pada Sabtu.
Mangsa ialah pemandu berusia 21 tahun dan penumpang hadapan berusia 35 tahun yang menaiki Proton Saga tersebut. Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Lahad Datu bersama lima lagi penumpang di bahagian belakang kenderaan itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supt Jimmy Panyau berkata siasatan awal polis mendapati kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku apabila Proton Saga berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Menurutnya, lori itu kemudian melanggar sebuah Perodua Alza dan sebuah motosikal dari arah bertentangan, menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut terjunam ke dalam gaung di kawasan pembinaan jalan.
Jimmy berkata Perodua Alza itu kemudiannya melanggar sebuah jengkaut yang diletakkan di kawasan pembinaan itu.
“Pemandu Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang hadapan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Penumpang lain Proton Saga itu berusia antara dua hingga 15 tahun serta penunggang motosikal telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya, menambah pemandu lori dan pemandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan serius. Menurut Jimmy, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun pada talian 089-881255 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Jimmy menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memandu dengan cermat bagi mengelakkan kemalangan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna lain.