TELUPID: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) menetapkan setiap individu hanya dibenarkan membeli dua kampit beras sebagai langkah mengekang pembelian panik di Sabah.
Menterinya Datuk Jamawi Jaafar berkata langkah itu diambil selepas pihak berkuasa mendapati berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna walaupun bekalan mencukupi.
Advertisement
_E.jpg)
Menurutnya, Kementerian itu telah memanggil semua agensi berkaitan termasuk pihak penguatkuasa, pemborong dan peruncit bagi menangani isu terbabit secara menyeluruh.
“Walaupun bekalan beras adalah tinggi, pembelian panik menyebabkan pengurangan kuantiti di pasaran terutama di pasar raya.
“Justeru itu, kita hadkan pembelian kepada dua kampit bagi setiap individu bagi memastikan bekalan mencukupi untuk semua,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja di Skim Penanaman Padi Trusan Sapi, di sini pada Khamis.
Jamawi berkata kerajaan juga mengarahkan semua pemborong mengeluarkan stok masing-masing termasuk kira-kira 3,000 tan beras yang sudah dibeli tetapi masih berada di stor Bernas.
Advertisement

“Kita tidak mahu ada unsur sabotaj oleh mana-mana pihak. Semua pemborong wajib menyediakan logistik termasuk lori untuk mengeluarkan stok yang telah ditempah,” tegasnya.
Mengulas isu penyorokan beras, beliau berkata audit sedang dijalankan terhadap beberapa pemborong yang disyaki terlibat.
“Jika ada bukti tindakan tegas akan diambil termasuk denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara kepada pemilik lesen.
“Tiada kompromi kerana perbuatan ini menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti penyeludupan beras ke luar negara berikutan perbezaan harga akibat subsidi tinggi di Malaysia.
“Kita sedang menjalankan siasatan dan jika ada pihak mengambil kesempatan dalam situasi ini, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Beliau turut mendedahkan terdapat beberapa pemborong yang gagal menghadiri sesi perjumpaan yang dipanggil Kementeriannya sebelum ini.
“Saya risau apabila ada pemborong yang tidak hadir ketika dipanggil sedangkan isu ini melibatkan kepentingan rakyat.
“Kita mahu semua pihak beri kerjasama penuh dan tidak mengambil kesempatan dalam kesempitan” katanya.
Jamawi berkata, Maffi menyasarkan stok simpanan beras di Sabah mencapai sekurang-kurangnya enam bulan bagi menjamin kestabilan bekalan.
Katanya, keperluan semasa dianggarkan sekitar 20,000 metrik tan sebulan namun jumlah itu akan ditingkatkan kepada 35,000 metrik tan bagi bulan ini bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Saya mahu semua pasar raya ‘mandi beras’ dan tidak berlaku pembelian panik,” katanya.