BEAUFORT: Seorang lelaki berumur 27 tahun yang cuba membunuh diri dengan terjun dari sebuah jambatan lama di sini, pada Sabtu, diselamatkan oleh pasukan bomba yang memujuknya turun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Ishak Jabas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.23 pagi sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan tangga bagi mendekati mangsa sebelum memujuk lelaki itu dengan nada tenang agar tidak meneruskan tindakan berbahaya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, anggota bomba turut bertanyakan punca tindakan lelaki itu dan menasihatinya supaya tidak mengambil keputusan terburu-buru, dipercayai akibat masalah peribadi.
“Selang beberapa minit dipujuk, lelaki tersebut akhirnya akur dan bersetuju untuk turun semula,” katanya.
Ishak berkata lelaki itu dipimpin turun menggunakan tangga oleh anggota bomba sehingga ke aras bawah dengan selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Wong Leong Meng ketika dihubungi berkata pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
“Setakat ini polis tidak menerima laporan berkaitan kes berkenaan dan berharap ia telah diselesaikan dengan baik oleh pihak bomba,” katanya.