TAWAU: Kerajaan Negeri dan Persekutuan digesa supaya turut melaksanakan mekanisme pengundian pos di Sabah bagi membolehkan setiap warganegara menunaikan tanggungjawab mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong Justin Wong berkata langkah itu juga dapat memberi peluang kepada mereka untuk terus menjadi sebahagian daripada proses kemajuan demokrasi negara.
Menurutnya cadangan yang dikemukakan oleh 23 badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak bukan sahaja wajar dilaksanakan di negeri berkenaan tetapi juga harus diperluaskan ke Sabah.
“Jika pengundian pos dilaksanakan, pengundi Sabah yang tinggal, bekerja atau menuntut di Semenanjung atau Sarawak dapat menunaikan tanggungjawab mereka tanpa perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi serta meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman bagi mengundi,” katanya.
Advertisement





