SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Malaysia (ATM) sentiasa bersedia untuk memperkukuh kawalan keselamatan di perairan dan sempadan Timur Sabah.
Panglima Angkatan Tentera Datuk Malek Razak Sulaiman berkata dalam masa sama, ATM diarahkan untuk mempergiat usaha membanteras aktiviti penyeludupan termasuk ketirisan subsidi seperti diesel di kawasan sempadan.
Advertisement
_E.jpg)
“Kita amat serius dalam memastikan hal ini tidak berlaku terutama dalam keadaan semasa.
“Ini penting agar apa yang seharusnya dinikmati penduduk kita terus terjaga,” katanya.
Beliau yakin semua agensi penguatkuasa turut melipatgandakan usaha bagi memastikan tiada ketirisan dan penyeludupan berlaku.
“Kita mahu barangan subsidi dinikmati sepenuhnya oleh rakyat tempatan,” katanya.
Advertisement

Tambahnya, langkah pengawasan di kawasan sempadan akan terus diperkukuhkan bagi menutup ruang kepada sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama warga ATM di Dewan Azim, Rumah Keluarga TLDM, Batu 5, di sini pada Ahad.
Hadir sama Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Ivan Mario Andrew, bekas Panglima Wilayah Laut 2 yang juga Ketua Eksekutif di Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar, pegawai dan anggota Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) Kem Sri Kinabatangan, warga tentera laut Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) yang bertugas sekitar Sandakan dan 18 veteran tentera yang bermastautin di Sandakan.
Acara itu membabitkan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Sandakan, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia Sandakan, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia Cawangan Negeri Sabah Zon Sandakan, Persatuan Veteran Komando Malaysia Sabah Zon Sandakan dan Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja Komuniti Sandakan.
Katanya, majlis itu bertujuan memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi ATM dengan anggota di peringkat pelaksana selain memberi ruang kepada warga ATM untuk berinteraksi secara lebih dekat bersama Panglima Angkatan Tentera.
Ia juga sebahagian daripada lawatan operasi beliau ke kawasan Timur Sabah yang meliputi Tawau, Semporna, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu.
Beliau turut merakam penghargaan kepada ATM yang bertugas dengan baik di Timur Sabah dan pos-pos di negeri ini dengan penuh dedikasi dan baik.
Sementara itu, beliau berkata kebajikan veteran ATM sentiasa diberi perhatian melalui pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.
Pelbagai inisiatif juga disediakan termasuk bantuan kebajikan serta program kerjaya kedua bagi membantu veteran yang masih dalam usia produktif.
Majoriti veteran bersara pada usia sekitar 40 tahun dan masih mempunyai tanggungan keluarga.
“Selain pencen, kita juga berusaha menyediakan peluang kerjaya kedua bagi membantu mereka menjana pendapatan di mana mereka juga mempunyai anak-anak yang masih bersekolah atau belajar dan belum bekerja,” ujarnya.
Bagi veteran yang uzur atau tidak berkeupayaan, bantuan khusus turut disediakan mengikut keperluan termasuk lawatan kebajikan ke rumah sebagai sokongan moral dan bantuan langsung.
Kerajaan juga terus meneruskan komitmen dalam menjaga kebajikan veteran termasuk pemberian bantuan kewangan secara ‘one-off’ kepada yang tidak berpencen serta bayaran pencen bulanan kepada pesara.
Pemberian bonus sempena Syawal turut dinikmati oleh anggota yang masih berkhidmat dan mereka yang berpencen.