Kota Kinabalu: Ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah antara Iran dan Amerika Syarikat mula memberi kesan tidak langsung terhadap sektor perhutanan Malaysia, sekali gus menyerlahkan bagaimana konflik geopolitik jauh boleh mengganggu industri tempatan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Perhutanan Tropika Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ts Dr Affendy Hassan (gambar) berkata kesan rantaian daripada konflik itu kini semakin dirasai dalam sistem ekonomi global yang menjadi tunjang industri berasaskan sumber negara.
“Dalam ekonomi global yang saling berkait, ketegangan geopolitik boleh mencetuskan kesan berantai daripada pasaran tenaga hingga kepada industri berasaskan sumber, termasuk negara yang jauh dari zon konflik,” katanya.
Presiden Persatuan Agroperhutanan Malaysia itu berkata sektor perhutanan kekal sebagai antara penyumbang penting ekonomi negara, dengan industri kayu dan berasaskan kayu menjana hasil eksport melebihi RM20 bilion setahun.
Katanya, destinasi eksport utama termasuk Jepun, Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah, menjadikan sektor itu terdedah kepada gangguan dalam aliran perdagangan global.
“Salah satu kesan paling ketara ialah peningkatan harga minyak mentah global susulan ketidaktentuan terhadap laluan bekalan tenaga kritikal seperti Selat Hormuz.
“Kenaikan kos bahan api memberi impak langsung kepada operasi perhutanan yang bergantung kepada jentera berintensifkan bahan api serta pengangkutan jarak jauh bagi kayu balak dan produk diproses,” katanya.
Menurut Affendy, peningkatan kos operasi kini menekan margin keuntungan dan berpotensi memperlahankan aktiviti pengeluaran dalam industri berkenaan.
“Selain harga tenaga, ketidakstabilan geopolitik juga menjejaskan rantaian bekalan global dengan peningkatan kos penghantaran dan premium insurans serta tempoh penghantaran yang semakin tidak menentu.
“Bagi Malaysia sebagai pengeksport utama papan lapis, kayu gergaji dan perabot, gangguan ini boleh menjejaskan daya saing di pasaran antarabangsa.
“Ketidakstabilan berpanjangan berisiko menyebabkan Malaysia kehilangan bahagian pasaran kepada pesaing yang mempunyai rangkaian logistik lebih kukuh atau kos pengeluaran lebih rendah,” katanya.
Dalam masa sama, Affendy berkata ketidaktentuan ekonomi global turut menjejaskan permintaan terhadap produk kayu apabila sektor hiliran seperti pembinaan dan pembuatan perabot cenderung memperlahankan operasi.
Katanya, keadaan itu membawa kepada penurunan permintaan, ketidaktentuan harga serta pengurangan output pengeluaran dalam industri perhutanan.
Beliau berkata sentimen pelaburan juga semakin lemah apabila pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati, sekali gus berpotensi menangguhkan pelaburan dalam ladang hutan dan industri hiliran berasaskan kayu.
“Bagaimanapun, kelemahan nilai ringgit mungkin memberi sedikit kelegaan dengan meningkatkan daya saing eksport di pasaran global,” katanya.
Menurut Affendy, kesan turut dirasai di peringkat pengurusan hutan apabila kekangan kewangan boleh menghadkan aktiviti silvikultur penting seperti penanaman semula, penjagaan, penjarangan dan pemulihan hutan.
Katanya, dalam jangka panjang, kekangan tersebut boleh menjejaskan kelestarian sumber hutan negara.
Walaupun Malaysia jauh dari kawasan konflik, beliau menegaskan kesan tidak langsung yang timbul adalah signifikan dan tidak boleh dipandang ringan.
“Pendekatan yang berdaya tahan, adaptif dan berpandangan jauh amat diperlukan bagi memastikan kelestarian serta daya saing sektor perhutanan negara terus terpelihara,” katanya.