TAWAU: Seorang remaja Indonesia berumur 16 tahun yang membunuh teman wanitanya, juga warga Indonesia berusia 13 tahun, di sebuah ladang kelapa sawit tiga tahun lalu, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi pada Khamis, iaitu dipenjarakan sehingga diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah selaras Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat kepentingan awam mengatasi faktor-faktor yang dikemukakan pihak pembelaan dalam menjatuhkan hukuman.
Advertisement
_E.jpg)
Beliau berkata mahkamah mengambil kira fakta kes, kepentingan awam serta laporan sosial yang disediakan oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tawau berhubung remaja Indonesia terbabit.
JKM sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan sosial mendapati remaja itu berkelakuan baik namun kurang kasih sayang kerana ibunya bekerja menyara keluarga selepas kematian bapanya.
Terdahulu, pada 26 Feb, remaja itu yang berusia 13 tahun ketika kejadian didapati bersalah membunuh teman wanitanya, juga warga Indonesia, Nur Zahirah Safarudin, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023.
Mangsa ditemui di dalam longkang di kawasan ladang kelapa sawit di Kalabakan dengan kecederaan di kepala.
Advertisement

Pada ketika itu, Steve mensabitkan kesalahan remaja terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mahkamah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan menetapkan 8 April untuk sebutan bagi mendengar laporan sosial daripada pegawai JKM.
Prosiding dijalankan di bawah Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana remaja itu masih bawah umur ketika kesalahan dilakukan, sebelum hukuman ditentukan.
Pada 10 Disember 2025, mahkamah memerintahkan remaja itu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Perbicaraan bermula pada 13 Oktober 2025 dengan pihak pendakwaan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan mengemukakan tiga saksi.
Pada 13 Ogos 2024, remaja yang memiliki pasport Indonesia itu didakwa membunuh teman wanitanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala remaja itu diwakili peguam Liew Hon Min.