KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan dipandunya yang membawa batu terbabas dan terbakar di Ulu Kukut, Jalan Kota Belud-Kudat di sini, pagi Ahad.
Mangsa berusia 55 tahun dipercayai tercampak dalam nahas kira-kira jam 11.30 pagi itu sebelum disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan akibat cedera parah.
Advertisement
_E.jpg)
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Elge Bakuk berkata jabatan itu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.36 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dikerah ke lokasi sejauh 34 kilometer beserta satu jentera dan satu kenderan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo.
“Setibanya di lokasi, kenderaan terbabit didapati terbakar dalam keadaan terbalik dan pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) serta satu tong buih (foam).
“Anggota bomba turut mendapati terdapat seorang mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Advertisement

Menurut Elge, operasi memadam api berjaya dikawal pada jam 12.50 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.17 petang.
Difahamkan, kebakaran lori berlaku selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik dengan mangsa dipercayai tercampak ke luar lori.