Kota Kinabalu: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dipukul lima pelajar perempuan berhampiran sebuah sekolah di sini.
Insiden tersebut terbongkar susulan rakaman mangsa dipukul tular di media sosial sejak Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata mangsa membuat laporan polis pada 23 Mei jam 7.51 pagi, sehari selepas kejadian didakwa berlaku.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi 22 Mei apabila mangsa dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu, kaki dan telinga kiri selain luka kecil pada lutut kiri.
Syed Lot berkata mangsa dan suspek ialah pelajar dari sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu dan dipercayai saling mengenali menerusi kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.
Katanya, mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua pelajar terbabit datang dan menyerangnya, dipercayai berpunca daripada salah faham serta rasa tidak puas hati peribadi.
Mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada keluarga atau pihak berkuasa.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum dirakam dan kemudiannya dikongsi di media sosial.