Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyediakan 14 mesin retort bagi pelaksanaan projek rintis di bawah Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif itu membolehkan makanan yang diselamatkan, diproses menjadi tahan lama sebelum diagihkan kepada kumpulan sasar.
i-FB dilancarkan baru-baru ini bagi memperkukuh pelaksanaan Program Food Bank Malaysia secara lebih menyeluruh dan mampan melibatkan rakan-rakan strategik antaranya Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Hotel Le Meridien Putrajaya, Hotel Marriot Putrajaya dan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu memanjangkan jangka hayat makanan malah memastikan ia dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan, selaras usaha Selamatkan Makanan dan Sayangi Alam yang menjadi antara objektif Inisiatif i-FB.
“Statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan rakyat Malaysia menghasilkan anggaran 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari. Daripada jumlah itu, 4,000 tan metrik mempunyai potensi untuk diselamatkan dan dimanfaatkan dengan optimum.
“KPDN berharap usaha ini dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam memperluas pelaksanaan Inisiatif i-FB, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam membantu golongan memerlukan serta mengurangkan pembaziran makanan,” katanya.
KPDN amat mengalu-alukan kerjasama dan penyertaan aktif pelbagai pihak dalam menggerakkan i-FB termasuk bagi peluasan Program Inkubator Ihsan Food Bank dengan menghubungi Sekretariat Ihsan Food Bank di Ibu Pejabat KPDN dan Pejabat-Pejabat KPDN Negeri.
Mengenai Program Santuni Komuniti Ihsan Food Bank, Armizan berkata ia bagi menyantuni petugas barisan hadapan serta mendekati golongan gelandangan di sekitar kawasan Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian daripada i-FB di bawah ikhtiar kos sara hidup dengan menggariskan tiga komponen objektif iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
Katanya, rakan strategik terdiri daripada pihak industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan seperti Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, World Trade Centre Kuala Lumpur, MameeDouble Decker Sdn Bhd, QSR Brands (M) Holdings Bhd, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Kechara Soup Kitchen, The Lost Food Project dan ReMeal.
“Melalui program ini, sumbangan pek makanan seperti makanan retort, makanan dalam tin dan barangan makanan kering telah diagihkan kepada komuniti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBDPM) Sentul serta polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang sentiasa bertugas demi keselamatan rakyat.
“Selain menyantuni petugas barisan hadapan, program pada malam ini juga mendekati serta mengagihkan sumbangan bekalan makanan kepada golongan gelandangan sebagai usaha menyantuni komuniti yang memerlukan, khususnya di bulan Ramadan,” katanya.