Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen pada Jumaat memerintahkan sebuah syarikat membayar denda RM11,000 atau penjara 30 hari jika gagal membayar kerana menjalankan kerja secara haram berhampiran talian elektrik voltan tinggi 11kV milik Sabah Electricity (SE) sehingga menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan seorang lelaki hilang upaya kekal.
Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Maribumi Sdn Bhd selepas pengurus projek syarikat berkenaan mengaku bersalah bagi pihak syarikat terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa syarikat itu sebagai kontraktor utama terlibat dalam kerja pemasangan tiang konkrit gantian bagi talian gentian optik berhampiran pemasangan elektrik voltan tinggi 11kV milik SE namun kerja tersebut dijalankan tanpa kebenaran daripada pemegang lesen iaitu SE.
Akibat perbuatan itu satu kemalangan berlaku melibatkan Meidrick Xavier Jappri, 23, kira-kira jam 10.33 pagi pada 18 September 2024 di Jalan Montenior, Kampung Panitian, Beaufort.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 55(1) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 55(2) enakmen sama yang memperuntukkan denda sehingga RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu kerja pemasangan tiang dilakukan berhampiran talian elektrik voltan tinggi 11kV milik SE tanpa kebenaran pemegang lesen dan tiang gentian optik yang dipasang berada kira-kira 2.1 meter dari tiang talian 11kV SE iaitu kurang daripada jarak selamat minimum yang ditetapkan.
Semasa kerja dijalankan tiang konkrit gentian optik yang sedang didirikan telah terkena konduktor 11kV yang tidak berpenebat menyebabkan percikan arka elektrik dan renjatan.
Akibat kejadian itu seorang pekerja subkontraktor Mederick Xavier Jappri mengalami renjatan elektrik yang teruk sehingga mengalami kecederaan serius dan kaki kanannya terpaksa dipotong di bawah paras lutut.
Insiden tersebut turut menyebabkan fius 11kV di simpang Batu 60 terpelantik sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Batu 62, Beaufort.
Siasatan lanjut mendapati tiada notis atau kelulusan rasmi diperoleh daripada SE sebelum kerja dijalankan berhampiran pemasangan elektrik walaupun kerja di kawasan berisiko tinggi memerlukan kebenaran serta pematuhan prosedur keselamatan yang ketat.