Kota Kinabalu: Sebuah syarikat perabot didenda RM8,000 atau waran sita akan dikeluarkan jika gagal membayar denda ekoran atas kesalahan tidak mempunyai sijil perakuan bomba untuk premisnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap New Tech Furniture Sdn Bhd selepas pengurus syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan terhadap syarikat pada Rabu.
Syarikat didapati tidak mempunyai sijil tersebut di premisnya di sepanjang Jalan Tuaran By-pass pada 31 Oktober 2025.
Kesalahan di bawah Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman mahkamah mengingatkan syarikat supaya memastikan memperoleh sijil perakuan bomba yang diperlukan dan menjadikan kes ini sebagai pengajaran sebelum sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Mahkamah turut menegaskan bahawa tanpa sijil perakuan bomba, syarikat sukar untuk menuntut insurans jika berlaku sebarang kejadian dan berharap hukuman terbabit menjadi amaran jelas bukan sahaja kepada syarikat berkenaan tetapi juga buat pemilik premis lain.
Semasa rayuan hukuman pengurus syarikat menyatakan kesal terhadap kesalahan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan.
Pengurus syarikat juga memberitahu mahkamah bahawa penambahbaikan telah dibuat untuk mematuhi keperluan keselamatan kebakaran.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Jabatan Bomba dan Penyelamat Nur Farizah Jembri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya kerana kesalahan terbabit melibatkan keselamatan pekerja dan pengunjung di premis berkenaan.
Nur Farizah menambah hukuman itu juga perlu menjadi amaran kepada pihak lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Menurut fakta kes surat peringatan telah dikeluarkan kepada syarikat sebelum ini namun siasatan mendapati premis masih tidak mempunyai sijil perakuan bomba yang diwajibkan.