TELUPID: Lapan rumah pekerja di Perumahan Estate Tawai 1, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang Ahad.
Kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu membabitkan satu blok rumah pekerja jenis kekal yang mempunyai lapan pintu.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang dan sepasukan lapan anggota dari BBP Beluran bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.45 petang dan mendapati kebakaran melibatkan satu blok rumah pekerja yang terbakar 100 peratus.
“Pekerja ladang sebelum itu telah cuba memadam kebakaran menggunakan tujuh tong alat pemadam api 9 kilogram, namun tidak berjaya mengawal api,” katanya dalam kenyataan, Isnin.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan serta gulungan hos menggunakan sumber air terbuka.
Kebakaran dikawal pada jam 7.30 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.
Tambahnya, lokasi kejadian tidak mempunyai rangkaian telefon serta liputan Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN), sekali gus menyukarkan komunikasi semasa operasi dijalankan.
Sementara itu, di KENINGAU, dua rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kampung Kauran, di sini, petang Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 6.38 petang, sebelum pasukan diketuai Komander Operasi, PBK I Norhasrita Abdul Manan digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan tiba di tempat kejadian pada jam 6.44 petang dan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah tidak kekal, masing-masing berkeluasan kira-kira 40x30 kaki dan 40x50 kaki persegi yang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air sepanjang 300 kaki yang diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran,” katanya.
Seramai 12 anggota dari BBP Keningau terlibat dalam operasi pemadaman dengan bantuan beberapa jentera, termasuk jentera FRT, LFRT, lori tangki air dan kenderaan EMRS.
“Pasukan bomba mengawal kebakaran pada jam 7.30 malam dan menamatkan operasi pada jam 8.10 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya, menambah tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pasukan jugamenyelamatkan sebuah rumah berhampiran daripada turut terbakar.
Operasi dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta empat kakitangan Sabah Electricity.