Kota Kinabalu: Dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu atas pertuduhan melakukan pecah amanah harta melibatkan tilam milik sebuah syarikat peralatan rumah.
Siti Nuraishah Ibrahim, 29, dan Noor Razliana Jakariah, 34, yang dihadapkan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Nuraishah berdepan enam pertuduhan manakala Razliana berdepan dua pertuduhan yang semuanya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Nuraishah didakwa menyalahgunakan enam unit tilam milik syarikat tersebut yang didaftarkan atas lima nama berbeza dengan menggunakan wang hasil jualan untuk kepentingan sendiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dua kali pada 11 April, masing-masing pada 7 dan 29 April serta dua kali pada 25 April 2022 di lokasi berasingan di Kampung (Kg) Tanjung Aru Lama dan Cybercity Apartment.
Sementara itu Razliana didakwa menyalahgunakan dua unit tilam milik syarikat sama yang didaftarkan atas dua individu berbeza dengan menggunakan wang jualan untuk kegunaan sendiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 dan 22 April 2022 di Kg Muhibbah.
Bagi setiap pertuduhan kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes dan membenarkan Nuraishah diikat jamin RM3,500 dengan dua penjamin manakala Razliana ditawarkan jaminan RM2,800 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 52 tahun didenda RM1,200 atau tiga bulan penjara kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.
Irwanzi Halok mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan melakukan kesalahan itu menggunakan telefon bimbit pada 17 Februari, kira-kira jam 4.10 petang di kawasan tangga bersebelahan sebuah kedai di Kepayan Ridge.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu oleh pegawai pendakwa Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah bahawa Irwanzi ditahan polis ketika pemeriksaan dijalankan di kawasan tersebut.
Barangan yang dirampas daripada Irwanzi turut dianalisis oleh pakar perjudian yang mendapati peralatan berkenaan digunakan untuk tambah nilai perjudian dalam talian berasaskan nasib.