Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 64 tahun yang meninggalkan seorang bayi berusia empat bulan di bawah jagaannya sehingga menyebabkan kematian bayi itu, dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Chong Chau Ying pada Selasa selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah.
Advertisement

Mahkamah turut memerintahkan Chong dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan deposit RM3,000 dan jika gagal membayarnya, dipenjara setahun.
Selepas menjalani hukuman penjara, Chong juga diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan dan jika gagal, didenda RM5,000.
Chong disabitkan kesalahan menyebabkan seorang bayi ditinggalkan ketika berada di bawah jagaannya di Taman Sinar Baru, Jalan Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang pada 11 November 2022.
Kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, peguam Artcules Wong yang mewakili Chong memohon hukuman denda minimum tanpa penjara dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama Chong.
Wong memberitahu mahkamah bahawa Chong menyesal atas perbuatannya dan dia mempunyai empat orang anak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kes itu adalah kesalahan serius dan bukan sekadar kecuaian biasa.
“Ini bukan kelalaian seketika. Ini adalah kes pengabaian serius yang mengakibatkan kematian seorang bayi berusia empat bulan, seorang bayi yang langsung tidak berdaya dan tidak mampu mempertahankan diri.
“Tertuduh bukan orang asing. Dia seorang pengasuh. Dia menawarkan dirinya sebagai individu yang mampu menjaga bayi. Ibu bapa bayi berkenaan, dengan niat baik, memberi kepercayaan kepada tertuduh untuk menjaga anak mereka yang amat berharga buat kali pertama.
“Kepercayaan itu dikhianati dengan cara paling tragis. Apabila ibu bapa menyerahkan bayi mereka kepada pengasuh, mereka menyerahkan seluruh dunia mereka.
“Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan tanggungjawab sepenuhnya terhadap bayi itu. Bersama tanggungjawab tersebut hadir kewajipan undang-undang dan moral yang tertinggi. Tertuduh gagal melaksanakan kewajipan itu secara amat dahsyat,” kata Fazriel.
Beliau turut berhujah bahawa kecuaian Chong bukan sekadar menyebabkan kecederaan ringan tetapi membawa kepada kematian bayi akibat lemas ketika berada di bawah jagaan tunggal tertuduh.
Fazriel juga berkata Chong lewat mendapatkan bantuan selepas bayi itu menunjukkan tanda-tanda kecemasan.
“Bukannya bertindak segera, bukannya menghubungi perkhidmatan kecemasan, bukannya membawa bayi itu mendapatkan rawatan perubatan segera, tertuduh menunggu hampir satu jam sebelum memaklumkan kepada ibu bapa.
“Kelewatan ini menunjukkan bukan sekadar kecuaian tetapi sikap tidak peduli yang mengejutkan terhadap situasi yang mengancam nyawa. Tertuduh mempunyai tanggungjawab untuk bertindak segera. Dia gagal berbuat demikian,” katanya.
Fazriel turut berhujah bahawa mahkamah perlu menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa kanak-kanak, khususnya bayi, mesti dilindungi dalam apa jua keadaan.
Satu kenyataan impak mangsa oleh ibu bapa bayi itu turut dikemukakan di mahkamah, menyatakan kehidupan mereka berubah sepenuhnya selepas kehilangan anak, lebih-lebih lagi kedua-duanya merupakan doktor.
Mereka berkata kedua-duanya disahkan mengalami kemurungan dan Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD).
Menurut mereka, mereka bergantung kepada terapi psikiatri dan ubat-ubatan hanya untuk meneruskan kehidupan, berdepan dilema kejam antara kebas emosi dan kesakitan mendalam akibat kehilangan terbabit.
“Persekitaran yang dahulunya kami menyelamatkan nyawa, iaitu hospital, kini menjadi tempat yang mencetuskan trauma melampau,” kata mereka.
Sementara itu, Chong turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi, namun mahkamah menasihatinya supaya mengemukakan permohonan rasmi bersama notis rayuan yang akan difailkan.
Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.