Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang berulang kali mengambil syabu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Aliff Hamidi selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Muhammad didapati bersalah kerana berulang kali mengambil syabu pada jam 9 pagi, 20 Ogos 2024 selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah di Balai Polis Papar.
Dia mempunyai sabitan terdahulu di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan pengambilan dadah berulang.
Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 39C(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 13 tahun serta sekurang-kurangnya tiga sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman dijalani bermula dari tarikh tangkapan dan selepas tamat tempoh penjara tertuduh akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Dalam menjatuhkan hukuman mahkamah mengambil kira kepentingan awam, keseriusan kesalahan yang semakin berleluasa serta sikap tertuduh yang tidak menunjukkan penyesalan.
Mahkamah juga menasihatkan Muhammad supaya mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan atau pertubuhan bukan kerajaan bagi menghentikan tabiat pengambilan dadahnya.
Semasa rayuan hukuman Muhammad yang tidak diwakili peguam memohon supaya hukuman bermula dari tarikh tangkapan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon hukuman lebih berat dan bermula dari tarikh sabitan memandangkan kes itu melalui perbicaraan penuh dengan enam saksi pendakwaan dipanggil.
Pendakwaan berhujah bahawa tertuduh telah diberi peluang untuk mengaku bersalah tetapi memilih untuk dibicarakan sekali gus menyebabkan pembaziran masa dan kos semua pihak.
Beliau turut menegaskan bahawa tertuduh tidak menunjukkan penyesalan dan kesalahan tersebut dilakukan berulang kali. Sepanjang perbicaraan, enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan di mahkamah.