BELURAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Tangkarason, Paitan mengalami kerosakan amat serius susulan banjir baru-baru ini, dengan hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan sekolah dilaporkan rosak sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata kerosakan itu memberi kesan besar terhadap kelangsungan sesi persekolahan.
Semasa lawatan ke sekolah itu, beliau berkata penilaian awal mendapati sebanyak 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi untuk bahagian pentadbiran, perlu digantikan.
“Kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi sembilan kelas turut terjejas dan memerlukan whiteboard serta Smart TV baharu. Semua buku teks, termasuk di stor bekalan buku teks musnah, manakala 30 laptop dan lapan set komputer untuk kegunaan pelajar tidak lagi dapat digunakan.
“Selain itu, kerosakan turut melibatkan bilik pusat sumber, tandas serta bilik mesyuarat sekolah. Sebanyak 10 tangki simpanan air juga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.
“Situasi ini memerlukan tindakan segera dan penyelarasan pantas bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan akses pendidikan murid-murid.
“Sehubungan itu, saya menyeru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah agar menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, Isnin.
SK Bawang K9 antara 19 sekolah terjejas banjir besar baru-baru ini.
Setakat jam 4 petang, lebih 5,000 mangsa banjir dari Paitan, Pitas dan Tawau masih berlindung di pusat pemindahan sementara.