BEAUFORT: Program Kebun Dapur (PKD) yang diperkenalkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan akan diperluaskan pelaksanaannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Adunnya, Datuk Ruslan Muharam berkata, inisiatif itu bagi menggalakkan masyarakat di kawasan itu memanfaatkan kawasan rumah bagi aktiviti pertanian dan penternakan berskala kecil.
Katanya, konsep Kebun Dapur juga memberi penekanan kepada usaha membantu rakyat menampung keperluan makanan harian keluarga di samping menjimatkan kos perbelanjaan dapur.
“Matlamat utama Kebun Dapur adalah untuk memastikan keluarga dapat menikmati hasil tanaman dan ternakan sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembelian di pasar.
“Pada masa sama, jika hasil yang diperoleh melebihi keperluan, ia boleh dipasarkan bagi menambah pendapatan isi rumah,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa di Masjid Mukim Gadong, di sini.(21 Feb)
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang merangkap Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (Sabah), Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, pihaknya telah mewujudkan Pusat Pengumpulan Pertanian di Kampung Ulu Lingkungan, di sini.
Katanya, segala hasil pertanian, penternakan dan perikanan daripada program Kebun Dapur itu boleh dikumpulkan di pusat berkenaan bagi memudahkan proses pemasaran dan pengedaran.
“Inisiatif ini selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang memberi penekanan kepada sektor pertanian sebagai antara pemacu ekonomi Sabah di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kerajaan mahu melihat sektor pertanian, perikanan dan penternakan ini terus diperkasa sebagai satu sumber ekonomi baharu rakyat, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.
Ruslan berkata, bagi menyokong usaha kerajaan negeri, Sabah Credit Corporation menyediakan pinjaman modal awal tanpa penjamin kepada rakyat yang ingin menceburi bidang tersebut.
Pada masa sama katanya, kementerian melalui agensi-agensi di bawahnya akan membantu menyediakan peralatan dan set asas seperti sistem ternakan ikan dan tanaman hidroponik bagi memudahkan rakyat memulakan projek itu.
“Banyak kawasan perkarangan rumah yang luas tetapi tidak dimanfaatkan. Jika digunakan dengan baik, saya yakin kita mampu menjayakan konsep Kebun Dapur sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga dan komuniti,” katanya.
Program Kebun Dapur telah dirasmikan pelancarannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di Tuaran pada 14 Februari, baru-baru ini.