PAITAN: Empat unit satelit Starlink diserahkan untuk membantu memulihkan capaian komunikasi di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat bencana banjir baru-baru ini, dengan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk James Ratib melakukan penyerahan itu, di sini.
Unit ini diberikan oleh SabahNet Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian, sebagai langkah segera untuk memulihkan komunikasi di kawasan terjejas serta menyokong operasi pengurusan bencana dan pemulihan pasca banjir.
Kemudahan itu diterima oleh Pegawai Daerah Paitan Joloning Joe Majambu, yang akan melakukan penyelarasan dan penempatan di lokasi yang dikenal pasti memerlukan capaian internet segera.
SabahNet berkata inisiatif ini bertujuan memudahkan penyelarasan bantuan, penyampaian maklumat serta keseluruhan usaha bantuan susulan kejadian banjir itu.
Diharapkan kemudahan ini dapat mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat yang terjejas terus diberi perhatian.