SEMPORNA: Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (Puspabumi) merayu agar Kerajaan Negeri mempermudahkan proses permohonan lesen seterusnya memberi sokongan kepada usahawan pelancongan bumiputera di daerah ini.
Timbalan Pengerusinya Suffian Ahmad berkata isu pelesenan dan tanah kekal menjadi cabaran utama khususnya kepada pengusaha kecil dan sederhana yang berdepan kekangan kewangan serta prosedur pentadbiran yang rumit.
Advertisement

“Kita mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) namun berharap kerajaan turut memudahkan proses permohonan lesen dan tanah agar pengusaha tempatan tidak terbeban.
“Ramai pengusaha bumiputera memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan sumber terhad namun proses yang panjang menyukarkan mereka untuk bersaing terutamanya dengan kehadiran pengusaha asing di Semporna,” katanya.
Suffian berkata Puspabumi mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan bagi meneliti isu pelesenan dan tanah secara menyeluruh selain menubuhkan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di Semporna.
Menurutnya ketiadaan pejabat JTU tempatan memaksa pengusaha ke Tawau untuk urusan pengesahan dan pemprosesan permohonan tanah sekali gus menyebabkan kelewatan kelulusan.
“Permohonan tanah di Sabah sangat tinggi tetapi Semporna tidak mempunyai JTU sendiri.
“Jika pejabat diwujudkan, proses boleh dipercepat dan beban pengusaha dapat dikurangkan,” katanya.
Mengenai aspek keselamatan Suffian berharap pihak polis dan Majlis Daerah Semporna (MDS) dapat meneliti semula operasi resort atas air termasuk yang melibatkan pelabur asing bagi memastikan pelaburan memberi manfaat kepada daerah dan negeri.
Sementara itu ahli jawatankuasa Salleh Abdul Salleh berkata tindakan penguatkuasaan melalui pasukan petugas khas perlu disertai sesi dialog bersama pengusaha tempatan sebelum sebarang langkah diambil.
Beliau berkata antara isu utama ialah status Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang lazimnya diluluskan hanya untuk tempoh dua hingga tiga tahun sedangkan pihak berkuasa tempatan tidak dapat mengeluarkan lesen operasi sekiranya status tanah masih bersifat sementara.
“Isu ini bukan kerana pengusaha enggan mematuhi undang-undang tetapi disebabkan struktur pentadbiran dan proses kelulusan yang mengambil masa panjang,” katanya.
Salleh mencadangkan tempoh TOL dilanjutkan antara 10 hingga 30 tahun bagi membolehkan pengusaha memperoleh lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan dengan lebih kepastian.
Mengulas mengenai pasukan petugas khas itu, Salleh berkata Puspabumi menyokong inisiatif Kerajaan Negeri namun berharap penglibatan dan perundingan bersama pengusaha tempatan diutamakan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
Katanya langkah tergesa-gesa boleh menjejaskan bukan sahaja pengusaha malah rantaian ekonomi tempatan termasuk pekerja bumiputera serta komuniti nelayan yang membekalkan makanan laut kepada resort.