Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi pada Khamis menetapkan 18 Mac untuk mendengar permohonan ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bagi menjadi pihak berkepentingan dalam semakan kehakiman (JR) yang difailkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membatalkan prosiding inkues kematian Zara atas alasan ia dijalankan di bawah undang-undang yang salah.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menetapkan tarikh itu selepas peguam Shahlan Jufri dan Rizwandean M. Borhan yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat mengesahkan bahawa permohonan tersebut telah difailkan pada 23 Disember 2025.
Advertisement

Dalam notis permohonan itu dinyatakan bahawa pihak berkepentingan (Noraidah) memohon kebenaran untuk didengar dalam permohonan JR yang difailkan pemohon termasuk pada peringkat kebenaran atas alasan beliau merupakan individu yang wajar didengar serta terkesan secara langsung dan terjejas oleh relif yang dipohon dalam JR tersebut.
Permohonan itu turut menyatakan bahawa pihak berkepentingan dibenarkan membantah permohonan kebenaran untuk JR serta apa-apa permohonan substantif yang timbul daripadanya, memfailkan afidavit, hujahan dan hujahan bertulis ringkas yang perlu bagi pelupusan adil prosiding JR serta apa-apa perintah lanjut atau berbangkit yang difikirkan wajar dan adil oleh mahkamah.
Sementara itu dalam afidavit sokongan dinyatakan bahawa Noraidah merupakan waris terdekat kepada si mati Zara Qairina Mahathir yang kematiannya menjadi subjek prosiding inkues yang ingin dibatalkan oleh pemohon.
Menurutnya beliau mempunyai kepentingan langsung, sah dan substantif terhadap perjalanan, kesinambungan dan keputusan inkues serta dapatan yang akan dibuat.
Mereka turut menyatakan bahawa pemohon, Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) tidak mempunyai kepentingan langsung, tidak terjejas secara advers dan merupakan pihak luar kepada inkues tersebut selain permohonan kebenaran untuk JR adalah terhalang masa.
Relif yang dipohon iaitu untuk membatalkan keseluruhan inkues dikatakan menjejaskan hak statutori pihak berkepentingan untuk mendapatkan inkues yang penuh, sah dan teratur berhubung punca kematian.
Afidavit sokongan itu juga menyatakan bahawa menurut Aturan 53 Kaedah 8(1), mahkamah mempunyai budi bicara yang jelas untuk mendengar mana-mana individu yang wajar penyertaannya diperlukan demi keadilan walaupun individu itu tidak diserahkan kertas kausa.
Ia demi kepentingan keadilan, kesaksamaan dan prinsip keadilan asasi agar pihak berkepentingan didengar sebelum sebarang perintah yang menjejaskan inkues dipertimbangkan.
Pada 21 November 2025 Pengerusi Pembela Datuk Seri Mohammad Jeffry Rosman telah memfailkan JR itu dengan menamakan Peguam Negara dan Mahkamah Sesyen Koroner sebagai responden pertama dan kedua.
Jeffry berkata Sabah mempunyai Ordinan Inkues 1959 sendiri yang menurutnya sepatutnya diguna pakai berbanding Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan.
Katanya undang-undang negeri itu masih sah dan mengandungi perlindungan khusus termasuk peruntukan untuk Koroner memanggil juri dengan separuh ahlinya daripada kaum yang sama dengan si mati.
Beliau mendakwa perlindungan tersebut tidak dipertimbangkan semasa inkues Zara sekali gus menjadikan prosiding itu tidak teratur dari segi prosedur dan tidak selaras dengan kerangka perundangan Sabah.
NGO itu memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keseluruhan inkues, mengisytiharkan Ordinan 1959 sebagai undang-undang yang terpakai serta mengesahkan hak perlembagaan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Menurutnya tujuan mereka bukan untuk melengah-lengahkan keadilan sebaliknya memastikan inkues dijalankan secara sah, telus dan selaras dengan kewajipan perundangan Sabah.
Peguam Jul Hamri mewakili pemohon.