Kota Kinabalu: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dengan kerjasama beberapa jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan akan menganjurkan program Ramadan Jazz di Kompleks Sukan Likas pada 14 Mac ini.
Program berkenaan adalah kesinambungan penganjuran di Sandakan pada 2024 lalu sempena Ramadan yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Antara agensi terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Sabah (Muis), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Yang Dipertua Usia Datuk Sapawi Ahmad berkata program sempena Ramadan itu mengangkat pendekatan dakwah kontemporari melalui gabungan muzik, tazkirah dan aktiviti kebajikan.
Menurutnya Ramadan Jazz membawa pembaharuan dengan pendekatan santai menerusi seni muzik yang sarat pengisian kerohanian, sekali gus menyumbang kepada pembinaan masyarakat Madani.
“Pendekatan di lapangan terbuka ini akan menggabungkan seni muzik dan dakwah dalam satu program yang lebih dekat dengan masyarakat katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Ramadan Jazz baru-baru ini.
Sapawi berkata program digerakkan Belia Usia di bawah pimpinan Datuk Jamawi Jaafar yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan itu dijangka akan menarik kehadiran lebih 1,500 pengunjung.
Katanya antara pengisian program Ramadan Jazz 2026 termasuk pengagihan bubur lambuk, ceramah agama dan tazkirah, semarak subuh sambil menyantuni asnaf dan ziarah ke hospital.