Kota Kinabalu: Pengguna digesa melihat harga buah-buahan tempatan yang lebih tinggi sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam kebajikan petani Sabah serta usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran program “Jom Support Buah-Buahan Tempatan” di Luyang, di sini, pada Isnin, namun mengakui buah import adakalanya dijual pada harga lebih murah berbanding hasil tempatan.
Bagaimanapun, katanya, sokongan berterusan pengguna terhadap buah-buahan tempatan akan meningkatkan keyakinan pasaran, sekali gus membantu menstabilkan bekalan dan harga dalam jangka sederhana serta panjang.
“Tidak semua buah tempatan mahal. Harga bergantung kepada jenis buah dan keadaan pasaran semasa. Apabila pengguna terus menyokong hasil tempatan, bekalan menjadi lebih stabil. Apabila permintaan meningkat, pasaran akan menyesuaikan diri dan harga akhirnya menjadi lebih mesra pengguna,” katanya.
Program tersebut bertujuan menggalakkan amalan pemakanan sihat di samping menyokong sumber pendapatan petani buah-buahan tempatan yang kebanyakannya bergantung kepada hasil tuaian bermusim.
Chan turut menggalakkan rakyat Sabah mengutamakan buah tempatan dalam amalan dan tradisi perayaan, khususnya sempena Tahun Baharu Cina, selain buah import seperti limau mandarin.
Pada majlis itu, buah-buahan tempatan seperti limau bali, markisa, buah naga dan jambu batu diedarkan kepada pengunjung, sekali gus menonjolkan kelebihan rantaian bekalan yang lebih pendek, termasuk kesegaran hasil serta pengurangan kos dan cabaran pengangkutan.
Chan berkata permintaan domestik yang kukuh amat penting bagi membangunkan industri hiliran berasaskan buah-buahan, termasuk pemprosesan makanan dan penghasilan produk nilai tambah, yang mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada petani dan usahawan tempatan.
Di bawah Belanjawan Persekutuan 2026, sebanyak RM86.43 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 51 projek pembangunan berkaitan pertanian di Sabah, merangkumi sektor perikanan, perkhidmatan veterinar, pengairan dan pembangunan tanaman.
Peruntukan itu, katanya, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh sektor pertanian Sabah serta meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara.
“Program ini selari dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 yang menekankan pertumbuhan agromakanan secara mampan melalui kerjasama Persekutuan dan negeri.
“Keyakinan pasaran bermula daripada pengguna. Setiap pembelian buah tempatan adalah sokongan kepada petani dan satu pelaburan untuk masa depan makanan kita,” katanya.