SEORANG kontraktor elektrik yang dilantik oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah diarahkan untuk mengalihkan sebarang wayar yang tidak diperlukan berkaitan sistem pencahayaan di trek berjoging Taman Botani Tun Fuad Stephens di kawasan Bukit Padang.
Sementara itu Telekom Malaysia (TM) Bhd menasihati kakitangannya di Kunak supaya lebih peka terhadap dahan pokok yang menebal sehingga mengganggu laluan kabel syarikat bagi mengelakkan kerosakan pada pemasangan tersebut.
Tindakan ini susulan maklum balas daripada seorang pengguna taman dan pelanggan TM mengenai ketidakaturan melibatkan talian perkhidmatan di sepanjang trek dan di Kampung Simpang Empat bandar tersebut.

Pengguna taman membangkitkan risiko renjatan elektrik akibat wayar terdedah yang dilihat di kawasan awam sepanjang trek manakala pelanggan TM bimbang mengenai kemungkinan gangguan telekomunikasi selepas sebuah pokok tumbang menimpa kabel syarikat di kampung itu baru-baru ini.
Seorang jurucakap Jabatan Botani DBKK berkata pemeriksaan ke atas trek sepanjang 2 kilometer dibuat pada hari sama selepas menerima maklum balas pengguna.
“Kakitangan kami ditemani rakan-rakan dari Jabatan Kejuruteraan (ED) pada pemeriksaan ini. Mereka menemui beberapa wayar pendek terbaring di antara batu kerikil dan semak di beberapa lokasi sepanjang trek. Wayar-wayar ini milik sistem lampu lama di kawasan ini,” katanya.
Beliau menambah sistem lampu lama telah dialih keluar bagi memberi laluan kepada pemasangan baru. Kontraktor yang ditugaskan menanggalkan lampu terdahulu didapati terlupa membersihkan wayar dan sisa kerja lain.
“ED telah menegur individu terbabit dan mengarahkan supaya kesilapan ini diperbetulkan secepat mungkin. Pekerja kontraktor mula mengeluarkan wayar dan bahan terbuang pada petang yang sama,” ujarnya.
Seorang jurucakap ED berkata pihaknya akan memantau kemajuan pembersihan bagi memastikan sisa sistem lampu lama dibuang sepenuhnya.
Beliau menegaskan tiada elektrik mengalir melalui wayar terdedah yang dilihat oleh pengguna menafikan sebarang risiko renjatan.

Bagi kes Kampung Simpang Empat jurucakap TM berkata empat juruteknik syarikat hadir untuk membetulkan tiang condong dan talian udara yang tumbang berhampiran sebuah restoran.
“Kami menerima makluman bahawa aset kami tidak lagi tegak apabila sebuah pokok hujan besar tumbang ke atasnya. Anggota dari Bomba dan Penyelamat telah memotong pokok tersebut kepada bahagian lebih kecil.
“Kakitangan kami tiba empat hari selepas perkara ini disedari, menegakkan semula tiang dan memasang wayar penyokong bagi memastikan pemasangan stabil sebelum meninggalkan lokasi,” katanya.

Beliau menambah kelewatan kerja disebabkan tugas lebih mendesak lain termasuk membaiki kabel yang sering dipotong di beberapa lokasi di bandar.
TM tidak mempunyai jadual penyelenggaraan tetap untuk pemasangan mereka dan aset akan diperiksa mengikut keperluan.