SANDAKAN: Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM45,000 milik Persatuan Pengusaha Bas Mini Daerah Sandakan yang didakwa diperuntukkan bagi bayaran 18 perkhidmatan bas tambahan sempena Majlis Penutupan Sukan Sabah (Saga) 2017.
Mohammed Hasdi Astan, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus di Mahkamah Khas Rasuah pada Rabu.
Mohammed didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 20 Disember 2017 kira-kira jam 10 pagi di pejabat Persatuan Pengusaha Bas Mini Daerah Sandakan, Aras 9, Bilik 904, Wisma Khoo.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnaen Rousan Hasbi memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan sementara menunggu perbicaraan.
Dia turut memohon supaya tertuduh diarahkan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sekali setiap dua bulan, menyerahkan pasport antarabangsa dan sebarang dokumen perjalanan terhad kepada mahkamah untuk simpanan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun peguam bela Rowiena Rasid memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira beberapa faktor mitigasi.
Menurutnya tertuduh merupakan seorang pesara yang masih menanggung isteri serta dua orang anak yang tidak bekerja selain tidak berisiko melarikan diri kerana menetap di Sandakan dan mampu mematuhi syarat melapor diri kepada SPRM.
Dia turut memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh menghidap penyakit darah tinggi dan memerlukan pemeriksaan perubatan bulanan di hospital kerajaan atau swasta yang melibatkan kos tambahan.
Rowiena menambah bahawa jaminan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan anak guamnya ditahan sepanjang tempoh perbicaraan selain menegaskan ini merupakan pertuduhan pertama terhadap tertuduh yang masih dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 secara tunai dengan dua penjamin tempatan tertakluk kepada syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan SPRM dan menetapkan 9 Mac untuk sebutan semula kes.