Kundasang: Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin melawat beberapa buah rumah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Desa Aman, di sini, baru-baru ini.
Semasa lawatan terbabit, penduduk terlibat menyuarakan harapan agar pihak berkuasa dapat memberikan bantuan segera bagi menangani masalah yang mereka hadapi.
Buat masa ini, penduduk terjejas hanya mampu mengambil langkah jangka pendek dengan menutup kawasan runtuhan menggunakan lapisan kanvas bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh susulan.
Beberapa buah rumah yang terlibat terletak betul-betul bersebelahan cerun yang runtuh, dengan jarak hanya beberapa kaki antara kawasan runtuh dan dinding rumah.
Jonathan menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berterusan yang merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, infrastruktur asas dan kesejahteraan sosial di seluruh daerah.
Beliau turut menggerakkan pelbagai program bantuan termasuk pengagihan makanan dan keperluan asas kepada keluarga berpendapatan rendah, selain bantuan kecemasan kepada mangsa bencana seperti banjir, ribut dan tanah runtuh yang kerap melanda beberapa kawasan di Ranau.
Sementara itu, warga maya memberi maklum balas positif terhadap keprihatinan Jonathan dan berharap akan ada tindakan susulan daripada pihak berkuasa.