Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah memeriksa 41 individu yang disyaki pendatang tanpa izin (PTI) dalam satu operasi penguatkuasaan di tiga lokasi di Ranau pada Selasa.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, JIM Sabah memaklumkan seramai 29 daripada individu yang diperiksa telah ditahan, terdiri daripada 11 lelaki, lapan wanita, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
“Semua individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah berkata tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin.
Orang ramai turut digesa supaya bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai kehadiran warga asing tanpa dokumen di kawasan masing-masing.