Kota Kinabalu: Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani menzahirkan sokongan penuh terhadap pengukuhan hubungan dua hala antara Sabah dan Sarawak yang dilihat semakin positif dalam usaha memacu pembangunan.
Beliau menyifatkan sinergi antara dua wilayah di Borneo ini sebagai langkah strategik yang bukan sahaja mampu melonjakkan ekonomi malah memperkasakan identiti sosiobudaya dan intelektual masyarakat serumpun, sinergi pembangunan dan citra Borneo.
Menurut Jasni hubungan erat ini amat penting dalam memastikan suara Sabah dan Sarawak terus relevan di peringkat nasional terutamanya dalam menuntut hak-hak pembangunan yang saksama.
“Kita melihat keserasian kepimpinan antara kedua-dua wilayah ini terutama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg sebagai satu ‘tonik’ baharu.
“Apabila negeri bergerak seiring keupayaan kita untuk membangunkan infrastruktur, ekonomi digital dan modal insan akan menjadi lebih luar biasa,” katanya selepas bengkel penulisan anjuran Bahasa dan Gapena baru-baru ini.
Jasni yang juga penerima Sea Write 2015 turut melihat potensi besar dalam kolaborasi sastera dan bahasa malah beliau mencadangkan agar hubungan bilateral ini turut diterjemahkan menerusi program pertukaran budaya dan karya kreatif bagi mendokumentasikan sejarah serta kemajuan kedua-dua negeri.
“Kita boleh mewujudkan penyatuan intelektual dan membangun platform penulis Borneo untuk berkongsi aspirasi pembangunan.
“Kita juga boleh membangunan golongan belia dengan menyediakan ruang bagi anak muda Sabah dan Sarawak bertukar idea dalam bidang kreatif dan inovasi.
“Bahasa akan memulakan agenda ini dengan menganjurkan bengkel penulisan kreatif melibatkan golongan muda di daerah Lawas, Sarawak dalam tempoh yang terdekat,” tegas Jasni.