Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) sempena Majlis Ulang Tahun 2026 dan Makan Malam Kutipan Dana Tahun Baharu Cina MCTA Cawangan Sabah pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffrey Jimit berkata kerjasama tersebut memberi impak praktikal dan berorientasikan hasil dalam mengukuhkan industri pelancongan negeri.
Advertisement

“STB menghargai perkongsian strategik bersama MCTA kerana kesannya yang nyata.
“Melalui kerjasama ini kami menghubungkan pemain industri dan menterjemahkan peluang pasaran kepada hasil perniagaan sebenar,” katanya.
Beliau berkata kerjasama berkenaan membolehkan ahli MCTA serta ejen pelancongan luar negara mengalami sendiri keunikan Sabah dan bukanya sekadar melalui bahan promosi sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan layanan mesra negeri ini.
Julinus menekankan bahawa pertumbuhan pelancongan masuk yang mampan bergantung kepada penyelarasan industri yang kukuh, produk pelancongan yang berwibawa serta perkongsian maklumat pasaran.
Beliau turut optimis agar kerjasama terbabit dapat diperkukuhkan lagi bagi membuka pasaran baharu serta mengukuhkan pasaran sedia ada.
Dalam pada itu Presiden Kebangsaan MCTA Patrick Law mengucapkan tahniah kepada Cawangan Sabah atas kemajuan yang dicapai sambil menyifatkan majlis ulang tahun itu sebagai cerminan perpaduan, kesinambungan dan profesionalisme.
“Cawangan Sabah telah berkembang secara konsisten dengan pembukaan pejabat baharu, pelantikan setiausaha sepenuh masa serta peluasan peranan di seluruh Malaysia Timur bagi memberi perkhidmatan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Inisiatif ini mencerminkan dedikasi ahli-ahlinya dan menandakan fasa baharu ke arah kematangan organisasi yang lebih tinggi,” katanya.
Patrick turut menekankan daya tarikan antarabangsa Sabah seperti Gunung Kinabalu dan pulau-pulaunya kepada destinasi selam skuba dan warisan budaya yang meletakan negeri berkenaan pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan pelancongan masuk dan keluar.