Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Lintas, berhampiran pusingan-U Starbucks, Khamis malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.35 malam melibatkan sebuah Toyota Camry dan motosikal Aveta.
“Siasatan mendapati kereta itu yang bergerak dari Kolombong menuju City Mall membuat pusingan-U di lokasi berkenaan apabila dilanggar oleh motosikal yang bergerak dari arah bertentangan menuju Kolombong.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia pada jam 8.40 malam oleh pegawai perubatan, ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau menambah, seorang individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Brymenderen Godon, pada talian +60 10-776 8802 atau Talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada 088-529 222.