Kota Kinabalu: Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) Sabah akan menjadi antara tarikan utama Sail Malaysia Passage to the East Yacht Rally 2026, mencerminkan minat yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa.
Fokus terhadap CoBT itu dikongsikan semasa sesi taklimat oleh Pengarah Urusan Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha kepada Penolong Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai pada Selasa, yang turut menggariskan perancangan bagi musim pelayaran akan datang.
Peserta rali yang dijadualkan singgah di Sabah pada Julai itu terdiri daripada pelayar dari seluruh dunia.
Sazli berkata penekanan terhadap CoBT mencerminkan minat tinggi dalam kalangan pelayar khususnya mereka yang pernah menyertai edisi terdahulu, yang kini semakin mencari pengalaman autentik serta interaksi lebih dekat dengan komuniti tempatan.
Beliau berkata Sabah terus menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelayar antarabangsa dengan maklum balas positif berkaitan kepelbagaian budaya, landskap luar bandar serta peluang untuk berinteraksi dengan komuniti setempat.
Mengenai pendaftaran, Sazli berkata setakat 20 Januari, seramai 15 peserta telah mendaftar, berbanding kira-kira 10 peserta pada peringkat yang sama dalam tahun-tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan potensi penyertaan lebih ramai peserta tahun ini.
Katanya, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang dipertimbangkan sebagai tapak pelabuhan baharu, selain cadangan untuk membangunkan agenda “pelabuhan selamat” bagi meningkatkan akses dan kemudahan kepada kapal layar yang berkunjung selaras usaha Sabah untuk menjadi destinasi pelayaran kapal layar.
Joniston mengalu-alukan fokus Sail Malaysia terhadap CoBT, sambil menyatakan ia sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti, di samping memastikan manfaatnya sampai kepada komuniti tempatan.
Tambahnya penekanan terhadap CoBT itu melengkapi promosi pelancongan Sabah yang lebih luas di bawah naratif Explore Sabah sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Joniston turut menggalakkan Sail Malaysia bekerjasama rapat dengan STB bagi mengenal pasti lokasi CoBT yang sesuai serta membangunkan usaha promosi bersasar untuk mengetengahkan tawaran pelancongan komuniti Sabah.
Beliau juga mengalu-alukan usaha memperkenalkan titik pelabuhan baharu dan menasihatkan Sail Malaysia supaya mengenal pasti pelabuhan selamat berpotensi untuk pertimbangan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pertemuan itu, Sazli yang juga Ketua Pegawai Operasi Pertunjukan Bot Antarabangsa Malaysia turut menjemput Sabah untuk menyertai edisi pameran itu pada 2026.