KENINGAU: Pemandu sebuah Proton Gen 2 cedera apabila keretanya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Agudon, di sini, pada Rabu malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 8.53 malam sebelum mengerahkan sebuah pasukan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati pemandu Proton Gen 2 itu cedera dan telah pun dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pihak kami, manakala pemandu 4WD itu tidak cedera,” katanya.
Beliau menambah, 4WD itu membawa muatan durian dan sebahagiannya bertaburan di atas jalan raya.
Katanya, pasukan bomba bertindak memutuskan sambungan terminal bateri kedua-dua kenderaan bagi mengelakkan risiko percikan api.
Pemeriksaan turut dijalankan di kawasan sekitar dan ke atas kenderaan terlibat bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 9.23 malam.
Dalam kejadian berasingan pada hari sama, Severinus berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung seekor kucing liar yang berada di atas siling sempit sebuah kedai di Kampung Pasir Putih.
Katanya, pasukan segera ke lokasi dan operasi menyelamat dimulakan pada 9.42 pagi. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati kucing berkenaan dalam keadaan selamat dan sedang berehat, selain siling tersebut mempunyai laluan keluar masuk sendiri.
“Pasukan menasihatkan pemanggil supaya menyediakan makanan di kawasan terbuka bagi membolehkan kucing itu turun sendiri dengan selamat,” katanya.