Kota Kinabalu: Ketua warden SMKA Tun Datu Mustapha memberitahu mahkamah bahawa ibu kepada Pelajar A mengetahui tentang konflik dialami oleh Allahyarham Zara Qairina Mahathir dengan ibu dan neneknya.
Ustaz Azhari Abd Sagap yang dipanggil semula sebagai saksi berkata cikgu Dayang Azira telah berkongsi perbualanya dengan ibu Pelajar A selepas kandungan dua halaman diari milik Zara dibangkitkan.
Pelajar A merupakan salah seorang daripada lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berkaitan insiden melibatkan Zara.
Menurut Azhari dalam perbualan tersebut Dayang dimaklumkan oleh ibu Pelajar A bahawa ibu Zara pernah datang sebelum ini namun Zara berpura-pura tidak mengenalinya.
Ibu Pelajar A turut memberitahu bahawa ibu Zara menunggu selama beberapa jam sebelum Zara bertindak memaki hamun ibu dan neneknya menyebabkan ibunya tidak lagi dapat menahan sabar lalu naik ke tingkat atas.
Apabila disoal oleh peguam Shahlan Jufri, Azhari berkata beliau tidak mengingati tarikh sebenar tangkap layar perbualan itu dikongsikan kepadanya namun Dayang telah memaklumkanya pada 17 Julai sebelum beliau membawa seorang pelajar ke Balai Polis Papar untuk merakam kenyataan.
Azhari turut memberitahu bahawa perbualan antara Dayang dan ibu Pelajar A itu muncul selepas kandungan diari Zara menyatakan ayat “kenapa hidup saya begini” yang menurutnya menunjukan Zara sedang mengalami masalah.
Beliau menambah Dayang berkongsi perbualan tersebut kerana beliau bertanya sama ada terdapat perbualan lain daripada ibu Pelajar A.
Beliau juga menjelaskan bahawa kandungan dua halaman diari itu tidak dikongsi dalam mesyuarat sebaliknya cikgu Yuslina telah menghantar kepadanya dalam bentuk imej pada 17 Julai.
Katanya semasa mesyuarat tergempar pada tarikh berkenaan kandungan diari tidak dibincangkan secara terperinci namun Yuslina telah membuat ringkasan dan menceritakan secara ringkas dua halaman tersebut yang berkaitan dengan masalah peribadi Zara.
Azhari berkata Yuslina tidak dapat mengingati reaksi pengetua yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut.
Dalam prosiding itu Azhari turut mendedahkan beberapa dokumen baharu yang kemudian dikemukakan sebagai bahan bukti. Antaranya tujuh keping kertas yang ditulis dengan frasa seperti “Saya sedih”, “Assalamualaikum kawan”, “Assalamualaikum kakak tiri”, “Adeeb love Zara”, “Surat privasi”, “Kenapa awak nak sangat jadi Badar” dan “Calling BF D Blok A”.
Dokumen lain termasuk perbualan WhatsApp antara Azhari dan Syukriah, tangkap layar perbualan antara Dayang dan ibu Pelajar A pada bulan Mac, tangkap layar WhatsApp pada 17 Julai antara Azhari dengan cikgu Miswati serta cikgu Amy (dari SK Pantai) dan lima halaman saringan kesihatan mental.
Azhari turut memaklumkan terdapat sebuah “Patung Avocado” di dalam diari Zara.
Beliau juga memberitahu koroner mengenai sekeping kertas yang ditemui selepas aktiviti gotong-royong di sekolah dan diserahkan kepadanya oleh Pelajar D.
“Pelajar D memberikan saya kertas itu yang ditemuinya di tangga besi tingkat tiga pada 12 Julai namun dia tidak menjelaskan mengapa kertas tersebut disimpan selama sembilan hari.
“Pelajar itu juga memberitahu bahawa pada 15 Julai seorang lagi pelajar telah memberikan surat privasi Zara yang tertulis ‘love Adeeb’.
“Selepas itu dia berkata tidak mengetahui ke mana perginya surat tersebut,” kata Azhari.