SANDAKAN: Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan (Stan) Teo Chee Kim menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mempertingkatkan standard operasi dan kemudahan di Lapangan Terbang Sandakan bagi memberikan kesan pertama yang positif kepada penumpang dan pelawat.
Teo mengulas kenyataan Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Izani Ghani yang menekankan bahawa keutamaan Malaysia Airports bagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 adalah memastikan ketibaan pelawat berjalan lancar, selamat dan mesra disokong oleh operasi efisien serta kemudahan yang ditingkatkan di semua lapangan terbang antarabangsa dan domestik seluruh negara.
“Saya bersetuju sepenuhnya dengan Datuk Izani Ghani bahawa lapangan terbang antarabangsa dan domestik harus diberi perhatian sama bagi memastikan standard perkhidmatan konsisten di semua pintu masuk.
“Oleh itu kita perlu mengelakan berulangnya kelemahan operasi sebelum ini termasuk isu bumbung bocor dan sistem penghawa dingin yang rosak. Kesan pertama amat penting dan sebagai pintu masuk utama ke tarikan hidupan liar terkenal di Borneo, Lapangan Terbang Sandakan mesti sentiasa memenuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa landasan lapangan terbang telah dipanjangkan dan rancangan untuk menaik taraf terminal penumpang sedang berjalan termasuk penambahan dua jambatan menaiki pesawat dan pengembangan dewan ketibaan.
Teo menambah trafik penumpang di Lapangan Terbang Sandakan telah melebihi paras sebelum pandemik iaitu mencatatkan rekod 1.18 juta penumpang pada 2025.
“Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ini Sandakan memerlukan lebih banyak sambungan penerbangan terus.
“Penang, Singapura, Hong Kong dan Guangzhou antara destinasi yang telah aktif diperjuangkan oleh Stan bersama pelbagai pihak berkepentingan sepanjang beberapa tahun lalu,” katanya.
Beliau turut mendesak MAHB memainkan peranan lebih proaktif dalam mempromosi dan memposisikan Sandakan sebagai pintu masuk penerbangan serantau di pantai timur Sabah.
“Dengan sambungan penerbangan terus yang lebih banyak Sandakan akan lebih berdaya saing dalam merangsang pertumbuhan pelancongan, ekonomi tempatan selain wujudkan peluang pekerjaan untuk komuniti.
“Oleh itu Stan komited sepenuhnya untuk menyokong dan bekerjasama dalam inisiatif yang bertujuan memperkenalkan lebih banyak penerbangan terus ke Sandakan,” tambahnya.