Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi pada Isnin mengekalkan keputusan pembebasan seorang anggota polis daripada tiga pertuduhan rasuah melibatkan dakwaan penerimaan sogokan berjumlah RM3,200 berkaitan individu tanpa dokumen pengenalan.
Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan koperal Margani Arpah, 61, di akhir kes pendakwaan.
Advertisement

Dalam penghakimanya Maslinda memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak mewajarkan campur tangan mahkamah bagi mengganggu keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.
“Oleh itu keputusan Hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan dan rayuan ditolak,” kata mahkamah.
Margani sebelum ini pada 23 November 2023 telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri.
Beliau didakwa kerana kononnya meminta dan menerima wang tunai sebagai rasuah pada 22 Ogos 2018 di belakang pondok polis Warisan Square berhampiran bangunan Centre Point.
Mengikut pertuduhan Margani didakwa secara rasuah meminta RM2,000 daripada seorang wanita bernama Anisa Hassan kira-kira jam 5 petang sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap dua individu yang didakwa tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Beliau turut didakwa menerima RM900 pada kira-kira jam 5.26 petang dan RM300 pada jam 6.26 petang pada hari yang sama masing-masing daripada Anisa Hassan juga sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap individu yang sama.
Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala pertuduhan kedua dan ketiga dibuat di bawah Seksyen 17(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta tersebut.
Perbicaraan bermula pada 17 April 2023 dan pihak pendakwaan menutup kesnya pada 2 Oktober 2023 selepas memanggil 12 orang saksi.
Tidak berpuas hati dengan perintah pelepasan dan pembebasan itu pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan dengan mengemukakan enam alasan.
Margani diwakili peguam Luke Ressa Balang.