Sun, 5 Apr 2026
Headlines:
Dua bekas pengarah agensi kerajaan didakwa kes rasuah, dokumen palsu
Published on: Friday, March 13, 2026
Published on: Fri, Mar 13, 2026
By: Cynthia D Baga
Text Size:
Text:
Dua bekas pengarah agensi kerajaan didakwa kes rasuah, dokumen palsu
Tseu dan Bakri.
Kota Kinabalu: Dua bekas pengarah agensi Kerajaan Negeri masing-masing dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah serta Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas pertuduhan berasingan berkaitan rasuah dan penggunaan dokumen palsu.

Dalam kes berasingan Bakri Bibi, 53, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus terhadap enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bayaran bagi pelbagai program AADK di Tawau dan Kunak melibatkan jumlah RM19,440.

Advertisement
Antara pertuduhan yang dihadapi ialah menggunakan dokumen palsu atas nama Syarikat Yazied Photostate Centre untuk mendapatkan bayaran RM2,700 bagi perkhidmatan makanan dan minuman untuk program Pengaktifan Komuniti di Kunak pada 13 Ogos 2018.

Bakri juga didakwa menggunakan dokumen sama untuk mendapatkan bayaran RM2,500 bagi program Khidmat Masyarakat di Kunak pada 29 Ogos 2018 serta RM4,500 bagi program Kesedaran Dadah di Kunak pada 29 Mac 2019.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Selain itu Bakri didakwa menuntut RM2,500 bagi perkhidmatan makanan dan minuman untuk program Skuad AADK Tawau mendaki Bukit Lim Man Kui pada 30 Mac 2019.

Dua lagi pertuduhan melibatkan tuntutan RM2,620 setiap satu bagi pembekalan bahan binaan untuk program gotong-royong komuniti di Tawau pada 14 April 2019 dan 16 April 2019.

Advertisement
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan seterusnya dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Tahun lalu Bakri turut didakwa atas 14 pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran untuk program AADK.

Advertisement
Mahkamah membenarkan tertuduh kekal dengan jaminan terdahulu dengan syarat yang sama dan menetapkan 27 April untuk pengurusan kes praperbicaraan. 

Sementara itu Tseu Kei Yui didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat membolehkan 20 penjawat awam di bawah jabatannya menerima barangan berharga dianggarkan bernilai RM100,000.

Tseu yang kini Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus terhadap 20 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, pada Khamis.

Tseu berdepan tiga pertuduhan di Tawau, dua di Sandakan dan selebihnya di Kota Kinabalu.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-20, Tseu yang ketika itu Pengarah DIDR didakwa bersubahat dengan 20 kakitangan jabatan berkenaan untuk menerima pelbagai barangan berharga daripada beberapa syarikat yang dipercayai mempunyai urusan rasmi dengan jabatan tersebut pada tahun 2023 dan 2024 di beberapa cawangan bank di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Menurut pertuduhan antara barangan yang diterima ialah telefon pintar, gajet, tablet, alat muzik, peralatan gimnasium dan lain-lain dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM100,000.

Tseu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Tseu diikat jamin RM30,000 dengan deposit RM10,000 serta seorang penjamin iaitu isterinya dan menetapkan 24 April untuk pengurusan kes praperbicaraan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa jika ada kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya semua pertuduhan digabungkan dan dibicarakan di Kota Kinabalu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip mencadangkan jaminan RM50,000 dengan deposit RM20,000 berserta seorang penjamin tempatan selain beberapa syarat tambahan.

Beliau turut memohon supaya semua kes digabungkan dan perbicaraan dijalankan di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun peguam Bartholomew Jingulam memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih berkhidmat sebagai penjawat awam.

Bartholomew tidak membantah permohonan supaya kes-kes tersebut digabungkan dan dibicarakan di Kota Kinabalu. 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here