LAHAD DATU: Polis di Lahad Datu meneruskan usaha membanteras aktiviti dadah dengan menahan tiga lelaki serta merampas lebih 50 gram syabu dalam dua serbuan berasingan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata tangkapan itu dibuat oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menerusi operasi di Kampung Tanjung Labian.
Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 39 tahun di sebuah rumah tidak bernombor kira-kira jam 1.30 pagi.
Pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu seberat 56.28 gram selain peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Jumlah nilai dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,190.80. Polis turut menyita sebuah Perodua Myvi dan satu set kunci,” katanya.
Kedua-dua suspek didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kira-kira setengah jam kemudian, polis menahan seorang lagi suspek di kawasan sama. Lelaki berusia 59 tahun itu didapati memiliki 0.96 gram syabu dan peralatan untuk mengambil dadah.
Dia juga didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dzulbaharin berkata siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian dadah serta sumber bekalan.