Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara terhadap tiga individu dalam kes berasingan kerana memiliki harta curian.
Mereka ialah Sharif Shafinie, Mazuan Abdul dan Beverly Doy yang masing-masing dihadapkan secara berasingan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Advertisement

Sharif, 32, dan Mazuan, 38, masing-masing dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah kerana bersama-sama menyimpan sebuah motosikal Modenas Kriss curian milik Gilmore Esteban.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.30 petang pada 5 Januari di Jalan V12C, Perumahan Bukit Payung, Tuaran.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa motosikal berkenaan sebelum itu ditinggalkan oleh pengadu di tepi jalan selepas terlibat dalam satu kemalangan namun apabila pengadu kembali beberapa hari kemudian motosikal tersebut didapati hilang.
Bertindak atas maklumat pihak polis kemudianya berjaya mengesan dan merampas semula motosikal itu daripada Sharif dan Mazuan di sebuah rumah di Bukit Payung, Tuaran.
Dalam kes berasingan Beverly dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah memiliki sebuah jam tangan Rolex curian milik Aishah Anne Abdul Rahman.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10.50 pagi pada 29 Disember 2025 di sebuah rumah di Kampung Kapak, Batu 7, Jalan Tuaran, Inanam.
Menurut pihak pendakwaan jam tangan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM80,000 dilaporkan hilang dari kediaman pengadu di Penampang pada 25 Disember 2025 dan dipercayai dicuri semasa kerja-kerja pembersihan rumah dijalankan.
Polis kemudianya menahan Beverly dan berjaya menemui semula jam tangan tersebut di rumahnya selepas tertuduh menunjukan lokasi simpanan barang berkenaan.
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara masing-masing bermula dari tarikh tangkapan.
Beverly turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.