Kota Kinabalu: Hampir 1,000 anggota polis akan dikerahkan di Kinabatangan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Lamag dan Parlimen Kinabatangan pada 24 Januari 2026.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata seramai 926 anggota polis ditugaskan dengan 837 daripadanya ditempatkan untuk kawalan keselamatan, pengurusan lalu lintas serta kerja-kerja pemantauan sepanjang tempoh pilihan raya.
Baki anggota pula terdiri daripada pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.
“Ia membabitkan semua proses utama PRK iaitu hari penamaan calon pada 10 Januari, pengundian awal pada 20 Januari dan hari pengundian pada 24 Januari.
“Daripada jumlah keseluruhan, seramai 646 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada hari penamaan calon pada 10 Januari ini dengan bantuan tambahan melibatkan pegawai dan anggota polis yang digerakkan dari daerah berhampiran termasuk IPD Sandakan, Beluran, Lahad Datu dan Semporna, selain penugasan Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sandakan,” katanya.
Beliau menyeru kerjasama penuh daripada semua pihak bagi memastikan perjalanan PRK berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Jauteh berkata kawasan Parlimen Kinabatangan yang merangkumi tiga kerusi Dun iaitu Kuamut, Sukau dan Lamag tidak diklasifikasikan sebagai kawasan panas, sambil menambah tiada isu keselamatan besar direkodkan dalam pilihan raya sebelum ini.
Beliau turut mengingatkan semua parti dan calon supaya menjalankan kempen secara profesional dan teratur selain menghormati sensitiviti masyarakat setempat.