TAWAU: Seorang remaja lelaki tempatan berumur 18 tahun yang disyaki mengugut mangsanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ditahan selepas dikesan di Lorong Industri Megah 1 Jalan Tiku pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata tindakan itu diambil susulan laporan polis yang dibuat seorang remaja lelaki berumur 15 tahun selepas menerima SMS berbaur ugutan daripada suspek.
“Mangsa menerima pesanan berbaur ugutan daripada nombor yang tidak dikenali semasa berada di sebuah masjid di kawasan Ranggu sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada polis,” katanya pada Rabu.
Jasmin berkata susulan aduan itu membawa kepada tindakan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) untuk menjalankan gerakan mengesan keberadaan suspek sebelum menahanya.
Mengulas lanjut polis turut merampas sebuah telefon pintar dan simkad yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa mengirim SMS yang berbaur ugutan jenayah terhadap mangsa.
“Suspek dan barang rampasan yang terlibat kemudianya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan,” katanya.
Menurutnya kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menakutkan mangsa secara jenayah dengan cara menyembunyikan identiti atau nama sebenar.
Berdasarkan peruntukan seksyen ini juga seseorang pesalah boleh dihukum sehingga dua tahun penjara jika didapati bersalah.