Kota Kinabalu: Dua wanita didenda keseluruhan RM7,600 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah memiliki dan menjual produk kesihatan serta kosmetik tidak berdaftar dan tanpa label.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Rasulah Lensu, 43, dan Nurfaranah Jouhari, 36, selepas mereka mengaku bersalah secara berasingan terhadap pertuduhan yang dibacakan pada Selasa.
Rasulah berdepan dua pertuduhan manakala Nurfaranah didakwa atas tiga pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama Rasulah didenda RM800 atau penjara tujuh hari jika gagal membayar denda kerana menjual satu kotak produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sebuah kedai di Papar pada 4 Julai 2024.
Untuk pertuduhan kedua beliau didenda RM2,000 atau penjara 14 hari kerana menjual kosmetik tanpa label di tempat dan masa yang sama.
Sementara itu Nurfaranah bagi pertuduhan pertama didenda RM800 atau penjara tujuh hari kerana menjual dua produk tidak berdaftar pada jam 11.50 pagi, 4 Julai 2024 di sebuah premis di Papar.
Bagi pertuduhan kedua beliau didenda RM2,000 atau penjara 14 hari kerana memiliki 12 produk yang tidak berdaftar dengan KKM di tempat dan masa yang sama.
Untuk pertuduhan ketiga Nurfaranah didenda RM2,000 atau penjara 14 hari kerana memiliki tiga kosmetik tanpa notifikasi di lokasi dan waktu yang sama.
Dalam rayuan mitigasi kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan. Namun pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan kesalahan yang dilakukan boleh menjejaskan kesihatan awam kerana produk terbabit tidak berdaftar dan tidak mempunyai notifikasi.
Pendakwaan turut memaklumkan bahawa produk berkenaan disahkan tidak berdaftar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan tidak dinilai oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kualiti, keberkesanan dan keselamatannya serta berpotensi mendatangkan risiko dan kesan sampingan kepada pengguna.