LABUAN: Hotel Labuan yang sekian lama terbiar sejak diisytiharkan tidak selamat pada 1997, akhirnya dirobohkan secara berperingkat, menamatkan penantian hampir tiga dekad terhadap nasib bangunan ikonik itu.
Kerja-kerja perobohan hotel 10 tingkat dengan 150 bilik itu kini giat dijalankan menggunakan jentera pengorek yang diangkat sehingga ke bumbung bangunan, sekali gus menarik perhatian ramai penduduk tempatan yang mempunyai kenangan tersendiri terhadap hotel berkenaan.
Hotel Labuan suatu ketika dahulu bukan sahaja menjadi lokasi pertemuan golongan elit, malah turut menempatkan pelbagai majlis rasmi, mesyuarat, kenduri perkahwinan serta acara kemasyarakatan. Kedai kopi hotel itu juga kekal dalam ingatan generasi lama dengan hidangan popular seperti kari kambing, kek keju dan puding kelapa.

Baru-baru ini, kira-kira 20 bekas kakitangan hotel berkenaan berkumpul di luar bangunan tersebut dalam satu pertemuan nostalgia sebelum berkongsi kenangan mereka di media sosial.
Mereka pernah berkhidmat dalam pelbagai bahagian di hotel tersebut dan mengimbau pengalaman bekerja di sebuah hotel yang pernah menerima tetamu kenamaan serta orang awam.
Hotel Labuan ditutup secara paksa oleh Lembaga Pembangunan Labuan (LDA) pada 17 Nov 1997, selepas beroperasi selama 24 tahun, susulan penilaian ketika itu yang mendakwa bangunan berkenaan tidak selamat dari segi struktur. Ketika itu, semua tetamu dan penyewa diarahkan mengosongkan premis serta-merta.
Bagaimanapun, ketika kerja pembongkaran dijalankan kini, bangunan tersebut didapati masih kukuh tanpa kesan retakan serius, walaupun hampir 28 tahun berlalu sejak diarahkan ditutup.
Terdapat spekulasi bahawa penutupan hotel itu berkait dengan persaingan politik, membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh, yang kemudian menyaman dan memenangi gantirugi berjumlah RM34 juta.
Pertemuan nostalgia terbaharu itu adalah yang kedua selepas pertemuan pada Ogos 2015 membabitkan dua anak perempuan Harris – Hajijah dan Khatijah – yang pernah menjadi pengurus besar hotel itu.
Hotel Labuan merupakan perniagaan milik keluarga Harris sebelum kini menjadi aset Perbadanan Labuan. Setakat ini, tiada perancangan rasmi diumumkan berhubung pembangunan baharu di tapak berkenaan.